7 Fakta Menarik Lebah Kelulut
Lebah kelulut atau boleh dipanggil kelulut sahaja merupakan spesis lebah yang kebanyakannya dijumpai di kawasan-kawasan tropika dunia, seperti Australia, Afrika, Asia tenggara, dan kawasan tropika Amerika. Ia juga menghasilkan madu seperti lebah madu biasa. Namun, madu kelulut mempunyai banyak khasiat yang lebih tinggi berbanding madu biasa. Artikel ini akan berkongsi 7 fakta menarik yang harus anda ketahui tentang lebah kelulut.
Terdapat hampir 500 spesis kelulut yang boleh dijumpai di seluruh dunia, antaranya termasuklah Geniotrigona thoracica, Heterotrigona itama, Lepidotrigona terminata, Tetragonula laeviceps dan Tetrigona apicalis. Di Malaysia sahaja terdapat 80 spesis lebah kelulut, namun kurang daripada 10 spesis yang boleh menghasilkan madu kelulut dan yang selebihnya hanya menjadi agen pendebungaan.
Fakta 1: Lebah kelulut tidak menyengat
Lebah kelulut berbeza dengan lebah madu biasa kerana ia merupakan spesis lebah yang tidak menyengat. Kelulut merupakan kumpulan lebah yang tergolong dalam famili Apidae. Kelulut juga mempunyai sengat, namun berbeza dengan lebah madu biasa, bisa sengatan kelulut telah dikurangkan dan tidak dapat digunakan sebagai pertahanan diri kelulut. Jadi, kelulut tidak akan menyengat apabila diprovokasi. Namun begitu, kelulut mempunyai tabiat pertahanan yang lain seperti mempunyai gigitan yang menyakitkan. Sesetengah spesis kelulut seperti genus Oxytrigona akan menghasilkan asid formik yang boleh mengakibatkan lecuran apabila terkena pada kulit.
Fakta 2: Sistem kasta lebah kelulut
Umum mengetahui bahawa lebah merupakan serangga sosial tinggi (eusocial) yang mempunyai sistem ‘matriarchy’. Dalam sistem tersebut, kasta dan peranan atau fungsi setiap kasta adalah jelas. Terdapat 3 kasta dalam koloni lebah kelulut iaitu ratu (queen), pekerja (worker) dan kelulut jantan (drone).
Ratu lebah kelulut dara hanya mengawan sekali sahaja dengan kelulut jantan. Hal ini berbeza dengan lebah madu lain di mana ratunya boleh mengawan dengan beberapa lebah jantan. Ratu kelulut yang telah mengawan tidak akan dapat terbang lagi dan hanya tinggal di dalam sarang. Perut ratu yang telah disenyawakan akan membesar tiga kali ganda kerana mengandungi telur di dalam kantungnya.
Kelulut pekerja pula merupakan kelulut betina. Kelulut betina boleh menjadi ratu bergantung kepada jumlah polen yang dimakan dan komponen genetik. Kelulut jantan atau drone hanya berfungsi untuk mengawan dengan ratu sahaja. Jadi, apabila bukan musim mengawan, kelulut jantan hanya akan berterbangan mencari makan sahaja.
Fakta 3: Sumber makanan lebah kelulut
Kelulut bergantung kepada bunga untuk nektar dan debunganya manakala bunga pula memerlukan khidmat lebah kelulut sebagai agen pendebungaan. Namun, kelulut tidak hinggap pada semua bunga. Hanya bunga tertentu dan pada waktu tertentu sahaja kelulut akan bekerja. Kelulut akan singgah pada bunga yang kembang sahaja. Bunga yang kembang akan menghantar isyarat (signal) yang difahami oleh kelulut. Walaupun begitu, jika tidak kena pada waktunya, kelulut tidak akan dapat apa-apa dari bunga tersebut. Antara spesis bunga kegemaran kelulut termasuklah bunga ulam raja, bunga ros jepun, bunga angelonia (Angelonia angustifolia), dan Bunga Air Mata Pengantin (Antigonon leptopus).
Fakta 4: Beza sarang lebah kelulut berbanding lebah madu biasa
Kelulut juga berbeza dengan lebah biasa dari aspek pembinaan sarangnya. Bentuk sarang lebah kelulut mempunyai seperti tempayan dengan satu ruangan masuk yang diperbuat daripada propolis. Kom (comb) sarang lebah kelulut dibina mendatar dengan sel pembukaan di atas, berbeza dengan sarang madu lebah yang dibina tergantung secara menegak. Sarang kelulut mempunyai muncung yang ditutup oleh batumen, satu bahan istimewa diperbuat daripada campuran resin, lilin dan pelbagai bahan seperti lumpur, minyak dan cat. Ianya seperti propolis hitam dan gelap. Batumen adalah kuat dan tebal serta boleh melindungi koloni daripada air dan musuh.
Fakta 5: Gradien warna yang besar dalam madu kelulut
Salah satu keunikan madu kelulut ialah gradien warnanya yang besar. Warna madu kelulut berbeza-beza daripada warna jernih, kuning, merah, hitam gelap malah terdapat juga warna merah jambu yang telah dijumpai dari sarang kelulut jenis Tetrigona apicalis. Perbezaan warna madu kelulut ini adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti spesies kelulut, lokasi, sumber pemakanan dan musim. Warna madu kelulut yang gelap didapati mempunyai kandungan mineral yang tinggi seperti kalium, mangan, besi dan natrium. Kandungan antioksida juga dikatakan lebih tinggi dalam madu yang berwarna gelap. Perubahan warna madu kelulut juga dipengaruhi oleh tempoh penyimpanan madu tersebut.
Fakta 6: Madu kelulut mengandungi gula trehalulosa
Berbeza dengan madu lebah yang lain yang mengandungi gula fruktosa dan glukosa, madu kelulut kaya dengan gula trehalulosa. Gula trehalulosa merupakan gula yang mempunyai Indeks Glisemik yang rendah. Madu kelulut yang dihasilkan oleh kelulut jenis G. horacica yang terdapat di Malaysia didapati mempunyai kandungan trehalulosa yang paling tinggi iaitu 84% daripada berat madu. Gula trehalulosa juga mempunyai kemanisan yang lebih tinggi iaitu 70% berbanding gula sukrosa, namun jika dimakan dengan jumlah yang sepatutnya, ia dipercayai dapat mencegah penyakit kencing manis. Jadi, penghidap penyakit kencing manis boleh makan madu kelulut tanpa perlu risau akan kenaikan gula yang mendadak. Selain itu, gula trehalulosa ini juga tidak mengakibatkan kerosakan pada gigi, tidak seperti gula sukrosa.
Fakta 7: Makan madu kelulut tingkatkan tenaga batin
Madu kelulut sememangnya telah terbukti kaya dengan pelbagai kebaikan kepada tahap kesihatan. Khasiat madu kelulut juga merangkumi aspek kesihatan dan kesuburan lelaki dan wanita. Hal ini kerana madu kelulut didapati dapat merangsang hormon kesuburan lelaki mahupun wanita seperti hormon testosterone, hormon peluteinan (luteinizing hormone), dan hormon perangsang folikel (follicle stimulating hormone). Oleh itu, pasangan suami isteri yang sedang merancang untuk menimang cahaya mata bolehlah mengamalkan madu kelulut sebagai supplemen pemakanan.
Kesimpulan
Madu kelulut sememangnya unik dan kaya dengan khasiat dalam pelbagai aspek. Keunikan dan kepelbagaian khasiatnya inilah yang menjadikan madu kelulut menjadi tumpuan masyarakat kini. Oleh sebab itu juga, harganya turut meningkat saban hari terutamanya madu kelulut asli. Untuk mendapatkan segala khasiatnya, dapatkanlah madu kelulut yang asli dari sumber yang pasti. Di sini anda boleh mendapatkan madu kelulut yang asli dan diyakini kualitinya.
